Seolah-olah adakah aku berada di Negeri China? Satu pemandangan yang baik.........
KEINDAHAN HANYA PADA PANDANGAN SEBALIKNYA PENDERITAAN MELAMBAI SAYU.
Sebenarnya aku bukan berada di Negeri China sebaliknya aku berada di Negara aku sendiri disebuah perkampungan traditional Melayu berhampiran dengan kampung aku sendiri. Satu pembangunan yang luar biasa telah berlaku dimana pada asalnya 'Tokong' ini hanya bersaiz sederhana dan tidak seindah hari ini. Aku bukanlah seorang manusia yang menentang pembangunan, sekiranya pembangunan itu memberikan manfaat kepada penduduk setempat dan tidak menggangu keharmonian manusia sejagat.
Lokasinya ditepi laut Selat Melaka dalam Daerah Manjung Perak Darul Ridzuan. Tempat ini telah diresmikan atas tajuk "PUSAT PELANCONGAN PASIR PANJANG" dalam pertengahan bulan Julai yang lalu. Tempat ini masih lagi dalam pembikinan. Jalan masuk ke tempat ini ada dua, satu melalui tepi Masjid Pasir Panjang dan satu lagi jalan menuju ke Kampung Tersusun Pasir Panjang yang melalui Tanah Perkuburan Islam. Difahamkan bahawa sebahagian dari tanah perkuburan itu telah diwakafkan oleh seorang insan dengan tujuan untuk memudahkan pengurusan jenazah. Sebaliknya, adalah difahamkan jalan tersebut dinaikkan taraf menuju ke Tokong tersebut. Dimaklumkan oleh penduduk setempat, Tokong itu berbunyi "Persatuan Pemuja Dewa" dimana bersempadanan Kampung Tersusun Pasir Panjang yang diduduki sepenuhnya oleh orang-orang Malayu.
Tujuan aku menulis dialam maya siber ini bukan khusus kerana pembinaan Tokong tersebut tetapi berlakunya penambakan laut dan kemusnahan hutan paya bakau. Kita dapat lihat kemusnahan hutan paya bakau dan pencemaran. Apa yang membimbangkan adalah sekiranya berlaku ombak besar atau tsunami, persekitarannya akan menjadi mangsa terutama Kampung Tersusun. Berdasarkan kepada struktur kawasan tersebut diwujudkan 'Taman Monyet' yang mana monyet akan ditempatkan disitu. Sejauh manakah jaminan keselamatan penduduk yang berhampiran. Diandaikan monyet-monyet ini akan berkeliaran dikawasan Kampung Tersusun yang hanya beberapa meter sahaja jaraknya dari Taman Monyet tersebut. Inilah yang perlu pihak berkuasa mengambil kira beberapa aspek keselamatan dan keselesaan penduduk. Adakah alasan yang akan diberikan 'terlepas pandang'. Sekali lagi aku nyatakan bahawa aku tidak mempersoalkan pembinaan Tokong tersebut tetapi sejauh mana aspek keselamatan dan kesejahteraan telah diambilkira.
Berbalik kepada kemusnahan hutan paya bakau/hutan paya laut. Sahabat Alam Malaysia (SAM) ingin menyuarakan kebimbangan terhadap pemusnahan hutan paya laut (hutan paya bakau) yang serius khususnya di Negeri Perak. SAM mengenal pasti kawasan-kawasan hutan paya laut yang dimusnahkan di Daerah Kerian, Daerah Larut Matang dan Selama, Daerah Manjung dan Hilir Perak adalah berstatus Tanah Kerajaan (termasuk rezab sungai) dan Tanah Milik. Malah lebih membimbangkan dan mendukacitakan adalah kerana terdapat sebahagian Hutan Simpan Kekal (HSK) yang diliputi hutan paya laut telah dimansuh dan ditebus guna kepada lain-lain guna-tanah.
Pada tahun 2005 telah berlaku pencerobohan dan pemusnahan hutan paya laut di kawasan Lekir untuk tujuan pembinaan kolam udang harimau. Dengan bantahan penduduk setempat, projek tersebut dibatalkan. Dan kolam-kolam yang telah sedia dikorek ditinggalkan begitu sahaja serta difahamkan ada kawasan -kawasan tertentu telah menjadi tempat pembuangan sampah dan sisa toksid. Pada 26.12.2005 telah berlaku tsunami dan kesannya telah diterima oleh penduduk setempat termasuk para nelayan persisiran pantai. Inilah yang dibimbangkan sekiranya berlaku sekali lagi tsunami/ombak besar, penduduk setempat termasuk pondok pengajian agama Nurul Hidayah dan Masjid Azzakiah Tanjung Kepah akan menjadi mangsa kepada kerakusan manusia, sewajarnyalah Kerajaan Negeri khususnya perlu mematuhi saranan mantan Perdana Menteri, YB Tun Abdullah Ahmad Badawi tahun 2005 (selepas bencana ombak besar tsunami) supaya mengekalkan hutan paya laut dan mengarahkan juga ditanam semula bagi kawasan yang hutannya telah musnah. Malah Kerajaan Negeri perlu merujuk semula dan mematuhi arahan Kabinet 1996 supaya hutan dalam lingkungan 400 meter dari pantai tidak boleh diceroboh dan majukan bagi mengelak masalah hakisan pantai.
"jika tiada bakau, lautan tidak mempunyai makna.....umpama pokok yang hidup tanpa akar, kerana bakau adalah akar pada lautan."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan